Sunday, October 5, 2008

KAMI the movie



Sebuah lagi wayang hebat selepas 'Sepet'. KAMI the movie merupakan arahan 2 pengarah tempatan iaitu Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak serta hasil terbitan Grandbrilliance dan RedFilm. KAMI the movie telah mula ditayangkan sejak hari raya pertama di kebanyakan panggung wayang. KAMI bermula dengan drama bersiri yang ditayangkan selama 8 episod di 8tv. Cerita ini mengisahkan tentang kehidupan yang dilalui oleh 5 remaja yang berusia 17tahun yang mempunyai latar belakang yang berbeza namun berjaya disatukan dengan minat mereka yang sama iaitu minat terhadap muzik. Terdapat 5 watak utama yang menjadi ikon bagi drama ini. Mereka ialah Lynn (Liyana Jasmay), Ali(Ezani), Abu(Nas-T), Adii(Zeyna), and Sophie(Juliana Evans).
Pelbagai perubahan yang telah berlaku diantara kelima-lima mereka. Pelbagai rahsia yang sekian lama disimpan telah terbongkar. Bermula dengan Ali yang telah bekerja di sebuah syarikat agensi pelancongan. Dia sememangnya tidak berminat dalam pekerjaan tersebut. Seperti yang kita tahu, ibu bapa Ali memang menghadapi masalah dalam hubungan mereka. Mereka akhirnya bercerai dan ibunya kini akan berkahwin dengan seorang lelaki yang lebih muda dari umur ibunya dan mendapat tentangan daripada Ali. Tanpa pengetahan ibunya, setiap hari Ali akan mengintai ibunya dari jauh. Hingga suatu hari dia bersemuka dengan ibunya.

Penggunaan lagu bagi beberapa babak saya dapati agak menarik. Sebagai contoh, ketika Abu cuba melarikan diri daripada pengetua pusat akhlaknya, mereka telah menggunakan lagu daripada kumpulan Hujan. Setelah Abu menghilangkan diri dari pusat akhlaknya, dia tidak berani untuk pulang ke rumah. Namun akhirnya dia pulang untuk berjumpa dengan ibunya.

Walaupun cerita ini dilihatkan seperti mengandungi unsur-unsur negatif yang mampu mempengaruhi minda generasi muda, namun yang demikian ada kisah dan mesej yang cuba disampaikan. Sebagai seorang remaja, saya berpendapat bahawa cerita ini cuba mengajar remaja supaya berfikir dengan lebih matang dalam pergaulan sosial dan sebagainya.

Ini dapat saya kaitkan apabila Lynn telah kembali bertemu dengan Boy sahabatnya sewaktu di kampung dahulu. Boy merupakan seorang pengedar dadah. Boy pernah melibatkan Lynn dengan jenayah tersebut. Kekesalan Lynn ternyata namun dia kini terpaksa mengulangi jenayah tersebut bagi menyelamatkan rakan-rakannya semula.

Adii pula yang semakin terdesak untuk menemui teman 'chattingnya', akhirnya berjanji untuk berjumpa dengan kawan sibernya. Namun, seorang yang dia anggap muda merupakan seorang lelaki tua yang sudahpun bercucu. Kisah Adii tidak berapa diketengahkan dalam movie ini. Adii masih belum mengetahui tentang kematian "Vanilla Ice" nya. Kebetulannya, "Vanilla Ice" merupakan abang kepada Abu. Abu menjadi serba salah apabila mengetahui bahawa Adii sedang masih menanti dan mengharapkan kemunculan abangnya.

Sophi pula mengalami dilemma dengan ibunya sendiri. Ibunya telah menyorokkan surat kelayakan kemasukan ke universiti swasta di luar negaranya setelah perkahwinannya dengan Jamal telah dibatalkan. Dia berjaya membongkar rahsia itu setelah mendapat panggilan daripada universiti berkenaan. Sophi yang semakin kerunsingan dengan ibunya dan Zarul semakin merindui Ali. Namun dia mula cemburu dengan keakraban yang terjalin diantara Lynn dan Ali.

Pada saat ini, persahabatan mereka mula diuji. Ali dan Abu mula berkelahi setelah Ali mengetahui bahaw sebenarnya Abu melarikan diri dari pusat akhlak. Ali cuba menyelamatkan Lynn daripada berhutang dengan Boy dengan membayar sejumlah kepada Boy namun tidak diterima Boy. Akhirnya Ali mengetahui kegiatan Lynn dan cuba membantu Lynn menghentikan segala kegiatannya. Namun diakhir cerita ketika Boy, Ali dan Abu bergelut Boy telah menikam Abu. Akhirnya Abu meninggal dunia.

Cerita ini memberi impak yang agak besar kepada penonton. KAMI the movie memberi kelainan yang maksimum berbanding cerita-cerita lain. KAMI juga membuka peluang yang luas bagi band-band underground untuk mula menonjol dalam kalangan masyarakat. Penonton juga didedahkan dengan 'GIGS' dimana terdapat pelbagai band yang diperkenalkan. Disamping lawak jenaka, terdapat babak yang agak menyayat hati. Tidak dapat dinafikan bahawa KAMI themovie merupakan "Movie of the Year". Oleh yang demikian, saya berikan KAMI the movie 5 bintang ***** :))

No comments: